Jika ada alasan utama mengapa naskah klasik barat terus hidup dan malar segar di serata pelusuk dunia, saya percaya ianya disebabkan statusnya sebagai naskah domain umum (public domain). Maka tidak hairanlah, setelah puluhan malah ratusan tahun naskah tersebut ditulis / diterbitkan.. ia masih meriah diperkatakan di segenap medium. Baik dari diskusi fizikal yang serius, podcast hinggalah borak santai di group Whatsapp dan sebagainya. Dan oleh kerana statusnya itu juga.. maka membolehkannya diterjemah ke dalam bahasa lain pula.. termasuklah bahasa kita. Lebih dari itu, tiada halangan untuk mengkomersilkannya bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk menjana keuntungan. Tiada masalah. Ruang dan peluang yang terbuka pada semua.
Di sini, impaknya memang besar kerana semua yang terjadi justeru menguntungkan mereka. Bukan sahaja ia memastikan budaya penyuburan ilmu (secara literasi) dapat mekar berterusan, tetapi lebih signifikan adalah pengenalan serta normalisasi terhadap perwatakan, persekitaran,cara serta norma dan nilai hidup mereka pada kita yang jauh di sini.
***
Saya terfikirkan tentang naskah domain umum mereka ini kala mana terbaca berita kejayaan DBP menyelesaikan transliterasi naskah Hikayat Shamsul Anuar (juga dikenali sebagai Hikayat Badrul Muin). Ini tentunya perkhabaran yang menyenangkan.. kerana naskah yang tampil kemas berjilid tersebut setidaknya memberikan tanda bahawa ianya kini sah sebagai dokumen rasmi khazanah bangsa. Namun dikala menghabiskan pembacaan, tiba-tiba muncul pula satu pertanyaan halus. . ‘So.. what’s next?’.
Ia timbul kerana berita tersebut hanya berkongsi tentang kejayaan upaya transliterasi dan dokumentasi, namun tidak menyatakan apa pelan berikutnya terhadap naskah berkenaan. Dari situlah muncul pula pertanyaan yang lebih mendasar..
‘apa sebenarnya end-game projek ni?‘
.. kerana jika hanya transliterasi dan seterusnya dokumentasi, projek ini sudah boleh dianggap berjaya kerana memenuhi piawai Pelan Strategik DBP 2021 – 2025, Teras Strategik : Bahasa Melayu Bahasa Ilmu melalui Strategi Utama Pemeliharaan dan Pemuliharaan Khazanah Persuratan Melayu: Mentransliterasikan Karya Agung / Naskah Tradisional. Tapi itu bunyinya sangat institusi.. . sangat formal.
Itu yang membuatkan saya terfikir, sekadar ini sahajakah? Maksud saya, sekadar transliterasi dan kemudian disimpan sahajakah?.. atau sebenarnya ada pelan lanjutan? curious juga saya. Tak mengapalah. Saya cuma berharap, jika ada pelan lanjutan terhadap naskah ini, moga sahaja ia tidak condong kepada komersil semata-mata sebaliknya buka juga peluang sebaran secara percuma kepada semua umat manusia, bersandarkan satu rasional – domain umum.
Bukan apa, sebelum ini pun biasa juga menziarahi laman Project Gutenberg bagi melihat-lihat jika ada naskah domain umum yang menarik untuk dimuat turun. Namun setelah membaca perkongsian berita transliterasi tersebut, saya terdetik untuk kembali semula ke laman berkenaan bagi satu tujuan yang spesifik – mencari naskah klasik nusantara Melayu, yang sebelum ini saya sendiri pun tidak begitu endahkan. Namun sepanjang berada disana.. tak jumpa pula. Yang ada pun hanyalah naskah-naskah domain umum yang dahulunya ada ditulis oleh orang putih. Tapi bagaimana dengan karya yang ditulis oleh orang kita?. Hmm..
Kerana itulah saya terfikir jika naskah tradisional klasik Melayu wajar mengikut jejak langkah yang sama, iaitu menjadikannya sebagai naskah domain umum.. agar ianya dapat terus diakses oleh sesiapa, secara percuma. Saya percaya.. dengan cara itu, naskah-naskah tersebut bukan sahaja terus lestari kerana sudah tersebar luas di tangan pembaca, tetapi yang lebih penting adalah keberadaannya itu mampu menjadi perantara kefahaman kepada mereka yang diluar sana tentang bagaimanakah sebenarnya kehidupan masyarakat tempatan pada zaman dahulu.. beserta cara dan nilai-nilai yang memandu hidup seperti agama dan adat ketimuran.
Ini berharga bagi saya, kerana ketika ini pun kita sendiri boleh nampak rasa teruja kita pada ketamadunan barat.. hanya disebabkan akses naskah tersebut yang mudah dan terbuka. Tidak perlu pergi jauh, disekeliling kita sendiri pun sudah banyak sahaja naskah terjemahan bersumberkan dari sana. Sementara naskah kita pula?.. erm, sedikit complicated. Lihat sahaja laman Wikipedia Hikayat Badrul Muin.. yang dari judulnya pun kita setidaknya menjangkakan akan ada sedikit perkongsian tentang Hikayat Shamsul Anuar ini.. yang terlakar dari judul laman tersebut. Tidak perlu hikayat penuh, cukup sahaja dengan perkongsian yang ringkas. Itu sudah memadai. Jadi, apa yang dikongsikan disana?
Hikayat Badrul Muin merupakan salah satu daripada kesasteraan bahasa Melayu yang ditulis pada masa dahulu sekitar . Pengarangnya adalah Raja Aishah binte Raja Sulaiman Riau. Ia adalah antara yang masih terselamat sehingga hari ini.
Ya.. itu sahaja, seringkas itu sahaja, yang selebihnya kita boleh baca sendiri. Jadi bayangkanlah.. untuk naskah setebal 1,044 halaman (enam jilid), bayangkan betapa banyaknya manfaat untuk generasi sekarang.. sebagai penerus budaya dan adat resam nenek moyang zaman dahulu. Saya sendiri pun awalnya menjangkakan laman Wikipedia tersebut mungkin menyediakan sekurang-kurangnya lima atau enam perenggan.. sebagai pencerahan tentang hikayat ini. Tapi malangnya.. itulah, sang pembuka laman pun tidak tahu hikayat ini bercerita tentang apa sebenarnya.
Kerana itulah saya masih menyakini mengapa naskah sebegini penting untuk disebar luaskan secara percuma. Ia sebagai tanda isyarat bahawa kita di sini, yang pernah dijajah orang putih, bukanlah masyarakat yang kosong tiada apa-apa, sebaliknya sudah ada tatacara hidup tersendiri sebelum mereka datang lagi. Dan salah satu cara yang paling mudah untuk mempersembahkan hakikat ini adalah melalui naskah klasik yang percuma, supaya semua orang boleh baca dan mengerti bahawa anak watan sebenarnya sudah ada cara hidup tersendiri, yang teradun melalui agama, budaya, adat resam dan hukum-hakam setempat. Mungkin tidak sempurna mengikut kaca mata barat, tapi ada.
Jadi, bila mana kita ingin mendidik masyarakat melalui naskah kita sendiri, dengan nilai dan mesej berguna yang terselit di dalamnya.. tidak banyak pula naskah percuma yang boleh dijadikan sumber.. yang memaksa kita bepaling semula kepada naskah percuma dari luar. Ini yang sebetulnya menjadi dilema kerana saya teringat pada peringatan pesanan Sayyid Ibrahim Husayn Shadhili Qutb (Sayyid Qutb)..
‘The white man crushes us underfoot while we teach our children about his civilisation, his universal principles and noble objective… we are endowing our children with amazement and respect for the master who tramples our honour and enslaves us.” (Walters, 2013)
https://hoodcommunist.org/2024/04/25/the-socialism-of-islam-beyond-islamic-socialism/
Dilema bukan?
***
Hingga kini saya masih sukar untuk percaya jika Raja Aishah mengarang hikayat berkenaan dengan niat untuk mengkomersilkannya, mengingatkan naskah asli yang ditulis beliau sangat mungkin bertulisan Jawi, yang sukar untuk sebaran luas disebabkan limitasi teknologi percetakan ketika itu. Dan jika anggapan itu salah sekali pun, saya masih tidak percaya Raja Aisyah ingin melihat dokumentasi berharganya itu terkurung di dalam sangkar emas institusi / rumah penerbitan setelah dirinya tiada nanti.
Seperti pengarang naskah klasik yang lainnya juga, saya justeru percaya bahawa beliau sememangnya mengharapkan agar tulisannya itu akhirnya dapat terbang bebas.. bertemu dan mendidik generasi yang seterusnya, yang saya yakin menjadi sebab mengapa hikayat itu ditulis in the very first place. Sebagai dokumentasi adat resam dan kehidupan Melayu ketika itu, dan sekaligus sebagai peringatan serta pedoman buat generasi akan datang.
Justeru.. jika itu yang kita harapkan, maka mungkin boleh pertimbangkan untuk melepaskan naskah tersebut kepada jelata. Tak perlu cetak kerana akan libatkan kos pula nanti. Cukup dengan PDF di laman web rasmi pun sudah mencukupi agar generai sekarang dapat memuat turun dan baca di telefon pintar masing-masing. Itu jauh lebih praktikal. Sambil sarapan pagi, sambil livestream, sambil tunggu pesanan Grab Food, sambil tunggu kawan-kawan. Asalkan ada telefon pintar di tangan.. boleh sambung baca dan baca. Itu lebih baik berbanding melayan Netflix.
Siapa tahu, dengan cara itu.. naskah akan dapat terus hidup dan lestari setelah tiba di tangan khalayak digital.. dibaca, diperbincangkan, diperbahaskan, diwacanakan dalam segenap medium fizikal dan digital, sekaligus dapat menjadikannya sumber penulisan yang berharga buat generasi sekarang. Hikayat klasik yang kembali ke tangan para penerus tradisi.
***
Jadi sekarang, persoalan yang masih bermain di minda.. apa sebenarnya end-game projek transliterasi Hikayat Shamsul Anuar ini?. Jika hanya untuk disimpan, ya.. wajar sahaja DBP meraikannya bersendirian. Tapi jika usaha ini sebenarnya langkah awal dalam mengatur proses panjang untuk sebaran percuma di kemudian hari.. maka semua kita akan turut merayakannya. Mengapa? kerana naskah itu akhirnya :
i. Dapat bertemu dengan anak-anak watan yang sudah lama menunggunya.. atau jika tidak menunggu pun, setidaknya terlintas untuk membacanya kerana sudah ada di dalam telefon pintar mereka, dan
ii. Orang luar akan dapat belajar tentang kita, dan sedar bahawa kita sudah ada resam budaya sendiri, lama sebelum mereka datang. Kot lah nanti mereka boleh hentikan rasa self-entitlement White Man Burden.. kan?
Anyway, itu sahaja. Semoga DBP dapat membuat pertimbangan dengan sebaiknya nanti. Aminn.
