Majlis pengebumian jenazah adalah moment yang agak deep bagi saya.. bukan sahaja kerana ia adalah majlis perpisahan ‘rasmi’ antara kita dengan dia yang sudah pun tiada, tapi ia juga adalah moment dimana jasadnya yang sudah dikebumikan.. rohnya itu dapat mendengar bunyi derap kaki kita sewaktu beransur pergi meninggakannya.
Bunyi tapak kaki yang semakin menjauh itu agak mengesankan jiwa, kerana dia kini yang tinggal bersendirian.. secara rasmi telah kembali kepada Sang Pencipta. Peluang dan harapan untuk pulang ke dunia, biarpun hanya sebentar sahaja, itu semua sudah pun tertutup.. yang kini terganti dengan penantian mendebarkan. Kesaksian bahawa semua yang akan dihadapinya kelak adalah tergantung pada apa yang dikerjakan di dunia ketika hayatnya dahulu. Pahala yang sempat dikumpulkan dahulu, dan pahala yang terus mengalir dari semua pengaturan yang sempat dikerjakan ketika hidupnya dahulu.
Makanya detik itu, saat bersendirian di liang lahad.. adalah kesedaran akan titik noktah yang nyata antara dia dengan seisi dunia. Roh yang duduk melunjurkan kaki akan bersiap sedia untuk didatangi Munkar dan Nakir.. yang kelak akan menanyakan soalan seperti yang diperdengarkan di dalam tertib bacaan talqin Imam.
Entah mengapa teringatkan tentang ini sewaktu beransur meninggalkan pusara ayahanda seusai solat Jumaat siang hari tadi. Untuk setiap pusara yang tersusun redup, terbit sekelumit rasa hening kalamana memikirkan bagaimanalah agaknya perasaan mereka taktala mendengar bunyi derap kaki keluarga, sahabat handai, dan semua yang yang mengunjungi majlis pengebumian.. beransur hilang. Dia yang boleh mendengar.. tetapi tidak boleh bersuara.
Justeru, seandainya kita menziarahi tanah perkuburan untuk urusan apa adanya, titipkanlah juga doa buat mereka semua yang ada di sana.. sebagai harapan agar persemadian mereka itu dipermudahkanNya. Dan tentunya.. sebagai peringatan untuk kita bersama juga bahawa kita akan menghadapi moment yang serupa, mendengar bunyi tapak kaki yang beransur pergi, apabila tiba saat kita pula nanti..
السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ، أنْتُم سَلَفُنَا، وَنَحْنُ بِالأَثَرِ
“Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul.”
